Sunday 1 January 2012

REFLEKSI MIKROPENGAJARAN

KEKUATAN
Set induksi adalah perkara penting yang perlu dilakukan dengan betul untuk menarik minat murid untuk belajar tentang sesuatu perkara atau topik yang hendak diajar di dalam kelas. Kelebihan dan kekuatan yang dapat dikesan sewaktu menjalankan mikropengajaran ialah ketegasan dan kelantangan suara. Murid-murid dapat mendengar dengan jelas dan terang tentang apa yang hendak disampaikan oleh guru. Suasana kelas yang tenang dan murid-murid duduk di hadapan kelas berdekatan dengan guru akan memudahkan guru memantau setiap pergerakan atau perbuatan mereka. Komunikasi yang mesra dan bersahaja antara guru dan murid dapat menggalakkan lagi murid untuk melibatkan diri dalam perbualan ini. 

Situasi pengajaran dan pembelajaran menjadi semakin menarik apabila guru meminta murid meneka jenis pekerjaan berdasarkan pakaian dan peralatan yang dipakaikan kepada seorang murid yang terpilih. Murid-murid merasa gembira kerana dapat meneka dengan betul kerana pakaian dan peralatan yang dipakaikan pada pelajar itu bersesuaian dan dapat difahami oleh mereka. Guru juga memberi pujian dan peneguhan kepada murid yang berjaya meneka dengan betul. Guru turut menerangkan tentang bahaya peralatan yang digunakan oleh petani dan meminta murid-murid supaya tidak bermain dengannya.
Guru turut menggunakan kad bergambar untuk menerangkan jenis-jenis pekerjaan yang tidak beruniform yang lain seperti guru, tukang jahit, tukang kayu, tukang gunting rambut dan lain-lain lagi. Guru turut menerangkan jenis pekerjaan yang ditunjukkan didalam bahasa inggeris. Secara tidak langsung murid juga akan dapat mengetahui nama atau jenis pekerjaan tersebut didalam bahasa inggeris.
Murid kelihatan gembira dan tidak sabar untuk melakukan aktiviti seterusnya.

KELEMAHAN
Kelemahan atau kekurangan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan tugasan mickropengajaran ialah dari segi penglibatan murid. Sesi ini dijalankan selepas waktu rehat dimana murid-murid baru sahaja selesai makan dan agak keletihan dengan aktiviti yang telah dijalankan sebelumnya. Ada murid yang terlibat secara aktif dan ada juga yang banyak mendiamkan diri dan tidak mahu terlibat dalam sesi ini. Ada juga diantara murid yang tidak memberikan tumpuan kerana asyik memandang ke arah kamera yang digunakan untuk sesi rakaman ini.
Ada juga pelajar yang terlampau aktif sehinggakan mengurangkan peluang murid lain untuk melibatkan diri. Guru juga sepatutnya memberi peluang kepada murid yang tidak aktif atau murid yang duduk di bahagian belakang untuk turut melibatkan diri dalam memberi jawapan atau pandangan.
Peralatan sebenar yang digunakan dalam sesi ini seperti cangkul kecil, pengetuk paku, peralatan berkebun agak merbahaya jika tidak dikendalikan dengan betul.

LANGKAH MENGATASI
Setiap kekurangan dan kelemahan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Bagi menarik minat mereka dan meningkatkan penguasaan dalam sesuatu perkara yang mereka akan pelajari, guru perlulah mencari kelainan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menjalankan pengajaran di luar kelas untuk memberikan suasana yang berbeza dan berlainan dari biasa. Memandangkan sekolah terletak di kawasan kampung dan kebanyakan penduduknya mengusahakan pertanian sawah padi, guru boleh meminta murid melihat sendiri bagaimana seorang pesawah menjalankan tugas mereka atau pun berbual berdasarkan pengalaman sedia ada mereka tentang tugas-tugas seorang petani yang mereka ketahui.
Guru juga hendaklah cuba menggalakkan penyertaan dari semua murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran terutamanya dengan murid yang pasif. Beri mereka peluang untuk bercakap dan memberikan pendapat.
Guru juga hendaklah memastikan kedudukan murid agak jauh sedikit semasa menunjukkan peralatan yang merbahaya seperti pengetuk paku, cangkul kecil dan peralatan berkebun untuk mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang akan membahayakan murid-murid yang duduk berdekatan.
Guru juga hendaklah memberi peluang kepada murid untuk menyatakan tugas-tugas setiap pekerjaan yang ditunjukkan berdasarkan pengetahuan sedia ada mereka sebelum menerangkan tugas-tugas sebenar pekerjaan yang ditunjukkan berdasarkan gambar.

No comments:

Post a Comment